Doodle raya 2011 ni cuma mampu bertahan untuk tahun ni jelah nampaknya sebabnya kalau diperhatikan betul-betul, perut 2 orang kakak aku tengah membuncit sekarang (mengandung). Bilangan ahli keluarga mungkin akan semakin bertambah.
Sekarang ni, yang bujang dalam keluarga ni cuma aku dan abang aku. Tapi, mungkin abang aku akan kahwin tak lama lagi, atau mungkin aku dulu ke? (jangan harap). Hehe. Dan mungkin juga ahli akan berkurang, (mati), tak ada siapa yang tahu. Apa pun, semoga Allah memberkati. Amin. :')
Berlalulah sudah Ramadhan, sebulan berpuasa, tiba Syawal kita rayakan, dengan rasa gembira. Eh eh, ternyanyi pulak dia. Hehe. Selamat Hari Kemenangan untuk semua umat Islam yang telah berjaya menempuhi Madrasah Ramadhan yang telah berlalu meninggalkan kita. Wuwu. Harap-harap masih berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan tahun depan ye. Amin. InsyaAllah.
Seperti yang diwarwarkan pasal 30 hari doodles yang aku nak buat sempena Ramadhan, sebab terinspirasi dengan OSM, akhirnya berjaya juga disiapkan. Heee. *Lap peluh kat dahi* Nampak macam senang, rupanya susah jugak nak fikir nak doodle apa untuk Ramadhan ni sampai ada doodle yang tak berapa nak kena sangat. Heee. Apapun, harap-harap amalan yang baik tu bolehlah diaplikasi sampai dah bukan dalam bulan Ramadhan pun. Amalan yang baik biarlah berterusan ye dak? :)
30 Hari Doodles untuk Ramadhan.
#1Ramadhan - Solat terawih
#2Ramadhan - Lewatkan bersahur
#3Ramadhan - Solat berjemaah.
#4Ramadhan - Jangan membazir di bazar Ramadhan.
#5Ramadhan - Selamat berbuka puasa.
#6Ramadhan - Kurangkan tidur siang.
#7Ramadhan - Banyakkan berdoa.
#8Ramadhan - Berubah kepada kebaikan.
#9Ramadhan - Berubah kepada kebaikan.
#10Ramadhan - Banyakkan baca Al-Quran.
#11Ramadhan - Bertadarus.
#12Ramadhan - Ramadhan checklist.
#13Ramadhan - Berhenti sebelum kenyang.
#14Ramadhan - Kurangkan lagho.
#15Ramadhan - Bertukar makanan dengan jiran.
#16Ramadhan - Menziarahi kubur yang telah pergi.
#17Ramadhan - Bersedekah.
#18Ramadhan - Berzikir.
#19Ramadhan - Baca Sirah Rasulullah.
#20Ramadhan - Hidupkan 10 malam terakhir Ramadhan.
#21Ramadhan - Qiyamullail.
#22Ramadhan - Bertaubat.
#23Ramadhan - Iktikaf.
#24Ramadhan - Sabar.
#25Ramadhan - Bayar zakat fitrah.
#26Ramadhan - Menghayati alam.
#27Ramadhan - Muhasabah.
#28Ramadhan - Bermaafan dan berbuat baik pada ibu ayah.
#29Ramadhan - Balik kampung.
#30Ramadhan - Takbir raya.
Kalau rajin bolehlah lawat http://www.facebook.com/1Hari1Doodle untuk tengok doodle aku yang sebelum ni. Aku mendoodle ni secara suka-suka je pun. Dalam masa yang sama, nak improve hasil doodle sendiri dari hari ke hari. :)
Dan sekian lah. Salam Aidil Fitri 1432H/ 2011 untuk semua. Ampun maaf dipinta mencuci semua dosa. :)
Sepanjang minggu-minggu di bulan Ramadhan yang mulia ni, ada 1 program menarik dan lain daripada selalu yang ditayangkan di TV9 iaitu Ini Kisahku setiap Rabu dan Khamis, 6.30 petang. Menyaksikan beberapa orang selebriti terkenal tanah air berkongsi pengalaman kehidupan mereka dan juga beberapa perubahan besar yang berlaku di dalam diri mereka selepas berhijrah.
4 selebriti ini berkongsi tentang penghijrahan yang berlaku dalam hidup mereka setelah menerima hidayah dari Allah. Semua video boleh dilihat di Tonton. Tapinya ada 3 video yang di kongsi di youtube yang sangat bagus untuk dikongsikan bersama cerita-cerita mereka ini yang begitu terkesan di hati. Subhanallah so inspiring. :')
Catriona Ross mula berubah selepas sembuh dari satu kemalangan yang teruk. Beliau tiba-tiba tergerak hati untuk bertudung selepas menemani kawan-kawan beliau ber-shopping tudung. Ibu Cat tidak pernah berhenti mengingatkan beliau tentang solat, dan akhirnya Allah beri beliau hidayah untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Kawan Cat menceritakan bahawa, perubahan penampilan luaran Cat, turut merubah cara beliau bergaul dan akhlak beliau. "I am proud to be wearing apa saja pakaian yang sopan sebab apa yang kita pakai tu mencerminkan peribadi kita lah. Allah sentiasa merahmati, melindungi dan membantu hambaNya yang meminta." Beliau berpegang kepada 1 hadis sejak penghijrahannya.
"Andai buruk daging itu, buruklah seluruh jasadnya. Andai baik daging itu, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan ketahuilah bahawa sekeping daging itu adalah hati. Baik hati kita, baiklah seluruh jasad kita."
Sham Kamizake mula berubah sejak bertemu dengan Imam Masjidil Haram, Sheikh Abd Rahman Al-Sudais di Masjid Alwi, Kangar bersama dengan seorang kawan bernama Ari yang menjadi salah seorang kepada punca perubahan beliau.
Daripada perangai panas baran dan cepat melenting, Sham yang sekarang berubah menjadi penyabar dan seorang yang redha dengan kehendak Allah. Apabila gitarnya jatuh, beliau cuma mengangkat kembali gitar tersebut sambil beristighfar. Sham yang dulunya, kalau gitar tersebut dijatuhkan oleh kucing pun, pasti isterinya akan dimarahi.
Ibu beliau merupakan orang yang tidak putus mendoakan supaya Sham berubah. Begitu juga dengan isteri beliau yang bukan sahaja cantik, malah sangat penyabar dengan perangai Sham yang dulunya sukakan benda moden, keduniaan, dan perempuan seksi. Alhamdulillah sekarang Sham menjadi seorang yang ada pendirian dan baik. Sebelum azan beliau sudah bangun kerana mahu mengerjakan solat Subuh di masjid secara berjemaah. Subhanallah.
Ustaz Mohd Asri berkata "setiap insan, apabila sampai ke suatu titik, dia akan berubah." Dan perubahan Sham sangat bagus kerana beliau cuba faham sesuatu perkara satu persatu, bukan berubah kerana terikut-ikut orang. Peranan beliau sebagai selebriti, bila berubah, ramai yang mahu ikut jejak langkahnya.
Wardina Safiyyah sebenarnya dibesarkan dengan suasana Islam oleh ibunya seorang ustazah, dan ayahnya seorang pendakwah. Sewaktu membesar, Wardina banyak membaca buku mengenai remaja-remaja barat. Sebenarnya, apa yang kita baca, sangat mempengaruhi fikiran kita. Sebab itulah prinsip Wardina: "you are what you eat and you are what you read."
Pengalaman mengerjakan umrah menjadi titik tolak kepada perubahan Wardina, yang mana beliau tergamam melihat Kaabah buat pertama kalinya. Setelah pulang dari mengerjakan umrah, Wardina mulakan dengan menjaga solat beliau supaya cukup 5 waktu sehari semalam. Katanya: "kalau kita faham apa yang kita baca dalam solat, tiap-tiap hari boleh menangis."
Wardina berhenti menerima tawaran berlakon dan memulakan hidup baru dengan mencari ilmu. Kemudiannya, bermula Ramadhan, Wardina mula berhijab. Untuk berubah ke arah yang baik, nak tak nak, ianya perlu dizahirkan melalui pakaian. "Orang akan menilai kita melalui pakaian kita. Pakaian kita menzahirkan siapa kita."
Doa yang diamalkan Wardina adalah doa "Rabbana la tuzigh qulubana ba'da izhadaitana wahablana min ladunka rahmah innaka antal wahhab. - Ya Allah janganlah Kau tarik hidayah dariku, setelah Kau berikan hidayah kepadaku."
Kata Wardina, kalau kita cuba nak mendekatkan diri dengan Allah, kita kena berkawan dengan orang-orang yang baik. Dan bila kita dah berubah menjadi lebih baik, orang yang baik-baik juga akan bersama kita. "Sekiranya kita nak jadi baik, Allah hantarkan orang yang baik untuk berkawan dengan kita."
Orang yang mengambil langkah ke jalan Allah tak pernah rugi dan menyesal. :')
Koleksi tweet-tweet dari mereka ber-3
Sebenarnya kan, bila melihat perubahan besar 3 orang selebriti di atas ni, aku tiba-tiba rasa macam sebak sangat-sangat. Sebabnya mereka-mereka ni pernah "hilang", tapi hari ni, MasyaAllah, mereka menjadi lebih baik daripada aku yang sejak lahir sudah mendapat didikan Islam ni. Allahuakbar.
Teringat ada 1 quote tu, "kalau kita sudah baik hari ini, jangan pernah pandang rendah pada orang yang kurang daripada kita kerana boleh jadi orang itu akan menjadi lebih baik daripada kita suatu hari nanti."
Aku rasa sebak melihatkan mereka ini telah mendapat hidayah dari Allah, sedangkan aku? Aku lahir sebagai Islam, dibesarkan sebagai Islam, mendapat didikan Islam sejak awal tapi tetap juga masih lalai dan buat perkara-perkara yang dimurkai Allah. :'( Ya Allah bantulah aku mencapai redha dan hidayah Mu juga. Amiinn. Aku kena berusaha lebih kuat. Beri aku kekuatan Ya Allah.
Benarlah, hidayah itu perlu dicari, bukan perlu ditunggu ia datang sendiri. Dan hidayah yang dipohon dari Allah itu tidak akan datang jika ia hanya sekadar harapan dan bukannya satu penyesalan. Hidayah itu akan diberi sekiranya seseorang itu memohon dengan seikhlas hati. Ya, segalanya bermula dari hati. Allah tidak akan beri sekiranya ia dimohon dari hati yang lalai.
“Hidayah itu milik Allah untuk memilih sesiapa jua yang akan dibukakan pintu hatinya. Bukankah Allah itu pemilik hati manusia - Dia jualah yang akan mengubah hati sesiapa jua yang dikehendakiNya.” - via Tumblr
Biar pun ada orang lain yang mendoakan kita supaya mendapat hidayah, tetapi kalau diri sendiri tidak terkesan langsung, Allah tidak akan beri. Sepertimana Rasulullah yang sangat sayangkan bapa saudaranya, Abu Talib dan berdoa kepada Allah supaya diberi hidayah padanya untuk memeluk Islam, namun Allah tetap tidak beri sehingga ke hujung nyawanya.
Sedar tapi berat melangkah. Hidayah itu memang benar milik Allah. Dosa itu memang benar memusnahkan. Kedegilan itu memang melambatkan proses. Janganlah kau degil wahai hati!
Aku selalu berdoa pada Allah, tolonglah berikan aku hidayah, berikan aku segala petunjuk supaya aku sentiasa berada di jalan yang lurus. Tapinya, aku tetap masih begini. Aku jadi cemburu melihat orang-orang ini. Mereka telah diuji kemudian telah mendapat hidayah sedangkan aku masih lagi di takuk lama. Ya Allah aku mohon dengan sangat, kau bukakanlah pintu hatiku supaya aku dapat mencapai redha-Mu. Aku tahu aku masih banyak lalai. Kau bimbinglah aku Ya Allah.
Ramai orang memang hidup sebagai Islam tapi tidak mendapat hidayah. Dia solat, dia puasa, dia beri sedekah, semuanya yang baik-baik dia buat, tapinya, dia sekadar buat ikut-ikut. Hatinya kosong. Tidak ada kesan pada hati, dia tidak diberikan hidayah untuk memahami kenapa perkara-perkara baik itu perlu dibuat.
Aku merasakan hidayah Allah itu benda yang paling mahal sekali untuk dapat. Bukan mudah untuk dapat. Dan bila sudah dapat, tidak boleh disia-siakan. Perlu belajar untuk istiqamah dan lakukan secara berterusan. Allah lebih suka amalan kecil yang dilakukan secara berterusan daripada amalan yang besar tapi cuma dilakukan pada masa tertentu sahaja. Kan? Mudah-mudahan Allah permudahkan jalan bagi orang yang menginginkan hidayahNya. Aminnn. :')
Ramadhan semakin tiba ke penghujungnya. Salam 27 Ramadhan.